Ugut bunuh ibu kerana lambat sediakan makanan

KUALA TERENGGANU: Seorang anak tergamak mengugut mahu membunuh ibunya gara-gara bengang wanita terbabit lewat menyediakan makanan dalam kejadian di Teluk Ketapang, Kuala Nerus, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika wanita berusia 62 tahun berada di dapur untuk menyediakan hidangan makan tengah hari sebelum didatangi anak lelakinya berusia 28 tahun.
Menurut sumber, suspek yang baharu bangun daripada tidur tiba-tiba mengamuk kerana tiada makanan sebelum mangsa menegur tindakan anaknya itu.
Katanya, teguran mangsa itu menyebabkan suspek semakin berang apabila mengugut mahu membunuh mangsa sebelum dia keluar dari rumah tidak lama kemudian.
“Walaupun tidak diapa-apakan, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.
“Susulan laporan diterima, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan di rumah mereka kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Labels: Isu Semasa

Back To Top