Isu Ayam Tidak Disembelih, Ini Jawapan Tesco Malaysia

Beberapa hari lalu, tular di media sosial sebuah video yang mendakwa ayam segar yang dijual oleh rangkaian pasaraya terkemuka, Tesco tidak halal kerana tidak disembelih.
Seorang lelaki dikatakan membeli beberapa ekor ayam di pasaraya terkejut apabila mendapati ayam dibelinya tidak disembelih. “Jual ayam tak sembelih, main tarik putus kepala. Ada orang sembelih ayam ikut tengkuk ke?” ujarnya.
Video tersebut mendapat perhatian netizen dimana rata-rata mereka mengecam pasaraya tersebut kerana didakwa tidak mematuhi sijil halal yang sah dikeluarkan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Susulan itu, dalam satu kenyataan menerusi Facebook, pihak pengurusan Tesco tampil memberikan penjelasan berkenaan isu tersebut serta menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial itu.
”Kami ingin menjelaskan bahawa di Tesco, kami sentiasa mematuhi segala kawalan kualiti dan standard produk yang amat ketat dan kami memandang serius dakwaan ini.
”Bagi memastikan produk yang dijual kepada pelanggan adalah halal, mematuhi undang-undang, selamat dimakan dan berkualiti, semua rumah sembelihan yang membekalkan ayam segar dan produk ayam kepada Tesco akan melalui proses pemeriksaan dan pengesahan berdasarkan Piawaian Tesco (Tesco Standard),” kata kenyataan itu.
Jelasnya,semua pembekal ayam perlu mempunyai sijil Halal yang sah dari Jakim/Jaim, selain perlu mematuhi amalan kebersihan dan amalan pengilangan baik (GMP) yang ketat.
Selain itu, pihaknya turut menyatakan, audit dalaman merangkumi aktiviti pemantauan dijalankan di rumah sembelihan untuk memastikan keseluruhan proses penyembelihan, pemprosesan, penyimpanan dan penghantaran adalah mengikuti piawaian yang telah ditetapkan.
Dalam kenyataan itu lagi, sekiranya pelanggan ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu ini boleh hubungi talian khidmat pelanggan di 1300 13 1313.
Labels: Isu Semasa

Back To Top